Syndicate content

Malaysia Baharu yang Inklusif

Kenneth Simler's picture
Also available in: English
Perjalanan Malaysia menuju ke tahap negara berpendapatan tinggi akan menjadi lebih bermakna jika semua lapisan masyarakat diberi peluang untuk berkongsi dalam kemakmuran negara. Foto: Bank Dunia/Samuel Goh
Sejak 1992, tarikh 17 Oktober telah diiktiraf sebagai Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa, atau secara ringkasnya, Hari Basmi Kemiskinan. Pada hari tersebut, dunia membicarakan kemajuan yang telah tercapai serta tindakan selanjutnya bagi mengakhiri kemiskinan.

Justeru, bagi menyambut Hari Basmi Kemiskinan pada tahun ini, Bank Dunia telah menerbitkan laporan Kemiskinan dan Kemakmuran Bersama bertajuk “Piecing Together the Poverty Puzzle”, yang mendokumenkan penurunan dramatik dari aspek kemiskinan ekstrem, yang dicapai dari tahun 1990 hingga 2015. Hanya dalam tempoh 25 tahun, walaupun populasi dunia meningkat daripada 5 kepada 7 billion, peratusan penduduk dunia yang dalam golongan miskin ekstrem menurun daripada 36% kepada 10% (iaitu 736 juta berbanding dengan 1.9 billion sebelumnya).

Menurut anggaran Bank Dunia, kadar kemiskinan global kini jatuh kepada 8.6% pada tahun 2018 dan telah melangkaui sasaran awal kadar 9% bagi tahun 2020, dalam usaha mencecah sasaran 3% menjelang tahun 2030. Namun, di sebalik kemajuan yang dicapai, sasaran tahun 2030 ini masih sukar diramalkan. Walau perkembangan sudah disaksikan, kadar penurunan kemiskinan pada tahap global dilihat semakin perlahan pada tahun-tahun belakangan.

Ketika ini, kemiskinan semakin tertumpu di kawasan-kawasan Afrika Sub-Sahara dan di kawasan yang getir atau dilanda konflik. Bahkan, penduduk miskin di kawasan-kawasan terbabit sahaja merangkumi lebih separuh populasi dunia yang bertaraf miskin ekstrem. Dengan itu, pencapaian sasaran 3% menjelang tahun 2030 amat bergantung pada beberapa faktor penting, khususnya, pertumbuhan ekonomi yang pantas dan inklusif, tadbir urus yang lebih mantap, pelaburan dalam bidang kesihatan dan pendidikan, serta peningkatan produktiviti.

Malaysia telah mencatatkan kemajuan yang cukup cemerlang dalam usaha menurunkan kadar kemiskinan monetari. Pada 1970, hampir separuh isi rumah Malaysia hidup di bawah garis kemiskinan kebangsaan, yang kadarnya hampir dua kali ganda dengan garis kemiskinan antarabangsa (kira-kira RM100 seorang setiap bulan). Tetapi hari ini, bilangannya telah jatuh kurang 1 peratus. Dengan berlatarkan nilai ambang garis kemiskinan median kebangsaan yang lebih tinggi, digunakan di negara-negara berpendapatan atas sederhana (kira-kira RM292 seorang setiap bulan), kadar kemiskinan Malaysia telah menurun kepada 2.7% pada tahun 2015 berbanding 17% pada tahun 2008.

Namun demikian, apabila negara-negara dunia menjadi semakin kaya, norma sosial tentang standard kehidupan asas atau minimum juga turut berubah. Jangkaan yang kian bertukar ini bukan sekadar mencakupi aspek jaminan pendapatan, tetapi turut merangkumi akses kepada perkhidmatan dan ameniti pada harga mampu milik kerana ia memberikan jaminan harga diri seseorang individu selaku ahli masyarakat yang mempunyai peranan masing-masing. Perbincangan umum buat masa kini mengenai kos kehidupan dan kualiti perkhidmatan awam serta topik-topik berkait yang diadakan secara terbuka menunjukkan bukti jelas bahawa Malaysia kini menyasarkan dan mengharapkan tahap kehidupan yang jauh lebih baik.

Oleh itu, dengan menyedari standard negara berpendapatan tinggi dan maju yang diaspirasikan oleh Malaysia, jurang serta kelemahan yang ketara tidak boleh diketepikan sebagai kes terpencil. Sebagai satu contoh, sebuah kajian oleh Institut Kesihatan Umum pada 2016 mendapati 20.7% kanak-kanak Malaysia terbantut akibat kekurangan zat nutrien. Kadar kanak-kanak terbantut ini berada di kawasan bandar dan luar bandar, bahkan merentasi semua negeri, semua bangsa, dan semua tahap pendapatan dan pendidikan ibu masing-masing.

Oleh hal yang demikian, dasar-dasar awam dan intervensi sosial pada waktu akan datang boleh dijadikan lebih efektif dengan memastikan dasar-dasar tersebut bertepatan dengan kehendak situasi kehidupan penduduk. Satu contoh ialah program Bantuan Sara Hidup (BSH). Impak dan keberkesanan kos program ini mampu mengatasi program-program sebelumnya dengan memastikan kriteria kelayakan dan jumlah manfaat yang diterima oleh penduduk dengan mengambil kira saiz dan komposisi isi rumah dan kos hidup yang berbeza menurut negeri dan juga berlatarkan sama ada ia kawasan bandar/luar bandar.

Sudah banyak yang diperkatakan tentang peralihan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Namun demikian, makna sebenar peralihan ini akan terserlah hanya sekiranya setiap rakyat Malaysia berpeluang bersama-sama untuk menikmati manfaat monetari dan bukan monetari hasil daripada kemakmuran negara. Malaysia sudah bersedia mengembangkan populasi berpendapatan sederhana yang saiznya lebih besar dan lebih berdaya tahan di mana ia boleh menjadi pemacu pertumbuhan masa depan, peneraju tadbir urus yang lebih baik dan mengangkat kebertanggungjawaban yang lebih tinggi. Secara tuntasnya, komitmen terhadap aspek inklusif dalam kalangan masyarakat Malaysia Baharu, serentak dengan usaha menangani jurang dan kelemahan yang ada – semua ini mampu membasmi kemiskinan dan menambah baik standard kehidupan setiap rakyat Malaysia.

Add new comment