Belanjawan 2019 – Langkah Pengimbangan bagi Kerajaan Malaysia Baharu

This page in:
Image
Belanjawan negara terbaru Malaysia memperlihatkan beberapa langkah yang menggalakkan. Cara kerajaan Malaysia mengimbangkan keutamaannya akan menjadi kunci untuk memastikan populasi berpendapatan rendah dapat berpeluang untuk berkongsi dalam faedah hasil pembangunan negara. Foto: Samuel Goh

Belanjawan negara 2019 yang dinanti-nantikan dan yang baru dibentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Yang Berhormat Lim Guan Eng pada Jumaat lepas ditampilkan pada ketika Malaysia sedang menempuhi detik-detik mencabar. Dari aspek luar negara, eksport Malaysia kian berdepan hambatan yang semakin meruncing – berbanding rintangan yang diharungi dalam beberapa tahun belakangan – rentetan ketegangan dagangan yang kian mendesak serta pertumbuhan global yang kian muram. Sementara  dari aspek dalam negara pula, besar kemungkinan, penekanan terbaharu untuk mengekang lambakan hutang Kerajaan serta liabiliti yang sedang ditanggung, bakal menyempitkan ruang fiskal dan menghambat kerancakan aktiviti ekonomi susulan pelaburan awam – tidak seperti dahulu. Dalam situasi sebegini, Malaysia terpaksa lebih bergantung pada penggunaan dan pelaburan swasta bagi menyokong pertumbuhan ekonomi pada tahun-tahun mendatang.

Justeru, belanjawan tahun ini mewajarkan langkah pengimbangan bagi menjamin pertumbuhan, menjamin keyakinan sektor swasta, menggalakkan kebertanggungjawaban fiskal, mengawal pengurusan hutang dan melindungi golongan rentan, yakni lapisan rakyat yang paling memerlukan. Dalam beberapa tahun belakangan ini, ternyata golongan isi rumah berpendapatan rendah di Malaysia begitu terbeban dan terkesan akibat peningkatan kos sara hidup sehingga mengundang tindakan segera Kerajaan baharu agar dapat mempertingkatkan keberkesanan sistem perlindungan sosial negara.

Berlatarkan situasi tersebut, analisis terhadap belanjawan baharu ini memperlihatkan beberapa langkah yang menggalakkan. Pertama, usaha untuk memperkukuh tadbir urus, kebertanggungjawaban fiskal dan ketelusan yang mantap pastinya langkah yang positif. Kedua, agihan tunai yang menyasarkan secara khusus saiz isi rumah atau subsidi minyak menerusi program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang baru diperkenalkan juga merupakan langkah yang tepat. Ketiga, fokus belanjawan baharu terhadap kepentingan pendidikan, kemahiran dan keusahawanan juga satu perkembangan yang amat disambut baik. Ini kerana prioriti tersebut begitu kritikal sekiranya Malaysia mahu bersaing dan berkembang maju dalam arena ekonomi digital baharu. Hal ini dikatakan demikian berdasarkan Indeks Modal Insan yang baru sahaja dilancarkan oleh Bank Dunia, yang menunjukkan bahawa masih ada ruang bagi modal insan Malaysia menghasilkan pencapaian yang lebih tinggi, sekali gus merealisasikan aspirasi pembangunan negara, khususnya yang melibatkan kualiti pendidikan bidang Matematik dan Sains.

Seterusnya, aspek positif yang turut dilihat dalam belanjawan baharu ini ialah tumpuan terhadap percukaian. Keputusan untuk meletakkan “perkhidmatan diimport” dalam skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), terutamanya yang melibatkan ekonomi digital, pastinya suatu inisiatif yang menepati keperluan sekarang, malah, sudah seiring dengan amalan antarabangsa yang semakin meluas. Lebih banyak inisiatif lain yang boleh diambil pada masa akan datang bagi memperluas asas percukaian SST. Bahkan, langkah untuk menjadikan sistem percukaian ini lebih progresif dengan memperluas rangkuman bayaran cukai oleh golongan individu dan perniagaan, serta menambah aras cukai untung harta tanah dan duti setem ke atas harta tanah bernilai premium juga suatu langkah konstruktif yang turut disenaraikan dalam belanjawan ini.

Dalam pada itu, aspek pengawalan hutang juga memerlukan pengurusan komitmen fiskal secara berhemat untuk jangka masa pendek dan sederhana. Tanggungjawab pengurusan fiskal ini termasuklah usaha untuk membangunkan mekanisme yang berkesan bagi memastikan agihan subsidi minyak yang disasarkan secara tepat. Selain itu, Malaysia juga perlu memperkukuh usaha bagi mempelbagaikan sumber pendapatan fiskalnya. Hal ini dikatakan demikian kerana, asas percukaian berasaskan penggunaan yang semakin mengecil ruangnya dalam tempoh 2018-2019 serta kebergantungan yang semakin meningkat pada sumber pendapatan minyak yang tidak berapa stabil berisiko menghambat langkah penyesuaian fiskal pada masa akan datang, apatah lagi jika berdepan kejatuhan harga minyak yang tidak diduga. Sebaiknya, Malaysia harus menggalakkan penggubalan dasar fiskal yang berasaskan kitaran (prokitaran).

Sewaktu ucapan belanjawan beliau, YB Lim Guan Eng turut menyebut bahawa bukanlah urusan Kerajaan untuk berurusan dalam perniagaan (“it is not the business of Government to be in business”). Dasar ini, jika benar-benar dituruti, mampu melonjakkan keyakinan pelabur, sekali gus mencetuskan pembaharuan ekonomi yang lebih berdaya saing. Hal ini dikatakan demikian kerana, sewaktu era syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berperanan besar dalam ekonomi negara, dan serentak dengan itu, disebabkan kedudukan GLC yang mendominasi pasaran, sebahagian daripada aktiviti mereka telah mencetuskan herotan ke atas corak aktiviti ekonomi dan mengganggu persaingan yang sihat – lantas pengguna menjadi ‘mangsa’ herotan dan gangguan tersebut. Maka, jika sektor swasta diharapkan mampu menggalas peranan berat untuk mengangkat semula pertumbuhan ekonomi dan penciptaan kerja pada masa terdekat, yang pasti, sektor awam perlu terlebih dahulu membuka jalan kepada sektor swasta. Bahkan, kedudukan Malaysia baru-baru ini dalam penarafan global “Doing Business” yang telah berjaya melonjak ke tangga ke-15 berbanding ke-24 sebelumnya ialah langkah signifikan. Ia suatu pencapaian yang penuh simbolik kerana berupaya membuktikan aspirasi negara untuk terus menjadikan sektor swasta sebagai pemacu pembangunan negara. Tuntasnya, ia turut menyerlahkan potensi ekonomi Malaysia untuk bersaing di persada dunia, sekali gus bangkit mengaum sebagai Harimau Asia.


Authors

Firas Raad

Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific

Join the Conversation

The content of this field is kept private and will not be shown publicly
Remaining characters: 1000