Pukulan COVID-19 telah meninggalkan bekas mendalam dalam kehidupan semua manusia. Bukan setakat dampak mortaliti dan morbiditi ekoran penyakit yang menular, bahkan langkah-langkah pengekangan penularan wabak virus penyakit turut menjejaskan punca pencarian rakyat. Tanpa mengira sama ada negara kaya atau miskin, usaha pengawalan penyakit tersebut telah memberi kesan kepada pekerja dalam setiap bidang kemahiran dan tahap pendapatan, merentap kegiatan harian manusia, antaranya, keluar bekerja, hadir ke sekolah, menghadiri keramaian bersama rakan taulan serta sanak-saudara. Malah, penduduk di negara yang tidak dijangkiti COVID-19 sekalipun, turut terkesan ekoran penutupan sempadan negara, sehingga melumpuhkan sektor perniagaan, pelancongan dan punca pencarian mereka.
Namun, tamparan paling perit dirasai oleh golongan miskin dan rentan. Antara golongan ini termasuk rakyat yang hanya sedikit atau tiada langsung wang simpanan, golongan pekerja informal yang tidak dilindungi jaringan keselamatan sosial, mereka yang kehilangan kerja, atau terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau pemotongan gaji berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).
17 Oktober disambut setiap tahun bagi memperingati Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia. Pada tarikh tersebut, warga seluruh dunia bermuhasabah dan melibatkan diri dalam usaha yang diperlukan untuk mengakhiri setiap bentuk kemiskinan. Pada tahun ini, buat pertama kalinya semenjak 1998, nisbah populasi manusia yang bakal tercatat sebagai miskin tegar dijangka meningkat. Berikutan itu, laporan global Bank Dunia bertajuk 2020 Poverty and Shared Prosperity Report menganggarkan antara 88 juta hingga 115 juta orang akan tergelincir ke dalam kategori miskin tegar.
Secara bandingan, Malaysia telah berjaya mengawal penularan novel coronavirus dan mengambil langkah penyaluran bantuan dan pelaksanaan dasar rangsangan yang luar biasa bagi memastikan kesejahteraan fizikal dan ekonomi penduduknya terbela. Sungguhpun begitu, sebagaimana keadaan semasa dunia, penduduk Malaysia turut terkesan terutama golongan isi rumah B40 dan rentan yang terpaksa berhempas-pulas untuk memenuhi keperluan hidup sebelum penularan wabak lagi.
Laporan Aspirations Unfulfilled: Malaysia’s Cost of Living Challenges yang baru saja diterbitkan memperinci pelbagai cabaran yang sekian lama didepani keluarga berpendapatan rendah dan sederhana di Malaysia, sebelum berlakunya pandemik COVID-19. Kebimbangan isi rumah tentang “kos kehidupan” sebenarnya jauh lebih kompleks dan bukan sekadar kerana kenaikan harga barang semata-mata . Juga mencakup kerisauan mereka termasuklah kenaikan gaji yang lembap dalam kalangan pekerja muda dan golongan yang tidak memiliki tahap pendidikan tertiari, ketidakcukupan rumah mampu milik di lokasi bandar dan pengurusan kewangan peribadi yang begitu lemah akibat hutang yang banyak dan wang simpanan terlalu sedikit.
Data yang tepat berkaitan kesan sosioekonomi pandemik ini ke atas isi rumah miskin dan rentan di Malaysia juga sukar diperoleh dan berselerak. Kaji selidik dalam talian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menghasilkan sedikit maklumat, namun seperti yang dinyatakan oleh pihak DOSM, ia bukanlah statistik rasmi kerana sampel yang diambil tidak mewakili keseluruhan penduduk Malaysia. Apapun, hasil kaji selidik ini memberikan gambaran bahawa pekerja informal dan mereka yang bekerja secara sendiri paling terkesan ekoran pandemik berbanding pekerja formal yang bergaji tetap , kerana pekerja formal lebih berkemungkinan menerima gaji penuh atau paling tidak, mendapat gaji separa dalam tempoh PKP. Bahkan, sewaktu PKP mula dikuatkuasakan pada pertengahan Mac, kebanyakan responden menyatakan bahawa simpanan mereka hanya cukup untuk tempoh 1-2 bulan, tetapi pekerja yang bekerja sendiri rata-rata menyebut simpanan mereka tidak mencukupi untuk kos sara hidup sebulan. Meskipun pelbagai program bantuan kerajaan diperkenalkan, banyak perniagaan mikro dan perusahaan kecil-sederhana dijangkakan tidak mampu bertahan dengan kejutan ekonomi rentetan COVID-19.
Dalam masa terdekat, amat penting bagi isi rumah dan perniagaan yang berdepan risiko tinggi untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi mengharungi badai COVID-19. Malah, entiti yang melibatkan urus niaga berdepan dengan orang ramailah yang paling memerlukan bantuan kerana perniagaan mereka akan mengambil masa yang lebih lama untuk kembali pulih walaupun selepas tamatnya perintah kawalan. Dalam pada itu, pandemik ini turut mendedahkan beberapa kelemahan sistem perlindungan sosial negara, antara lain, pertindihan program yang sedia ada serta program yang terpisah antara satu sama lain. Sebagai contoh, EPF dan SOCSO merupakan dua tonggak penting dalam sistem perlindungan sosial, namun kira-kira 40% tenaga kerja yang terdiri daripada warga bekerja sendiri, pekerja sambilan dan informal tidak terangkum di bawah kedua-dua sistem tersebut . Justeru, bagi memastikan sokongan lebih mampan tatkala waktu yang mencabar ini, dasar kerajaan bagi memperbanyakkan simpanan perlulah dijalankan serentak dengan kaedah pengurusan kad kredit secara lebih berhemat. Ini amat penting bagi membina benteng perlindungan kewangan yang lebih ampuh jika terpaksa berdepan kejutan seumpama ini pada masa hadapan.
Pandemik COVID-19 telah mengubah kehidupan warga Malaysia – terutama warga rentan dan miskin yang terkesan keadaan kehidupan mereka. Secara tuntasnya, pengukuhan sistem perlindungan sosial dan peranan berterusan pihak kerajaan dan masyarakat dapat bersama-sama membantu menghapuskan kemiskinan, memupuk kesejahteraan bersama dan memperkuat daya ketahanan ekonomi negara.
Join the Conversation