Mengapa pembangunan Malaysia perlu disingkap di sebalik angka purata

This page in:
Image
Sedang Malaysia menghampiri status negara berpendapatan tinggi, ia perlu peka akan aspek pembangunan yang lebih luas tetapi tidak tercakup dalam angka pertumbuhan GDP.
Foto: Getty Images/Anadolu Agency


Malaysia sebuah negara yang cukup cemerlang bersandarkan pelbagai ukuran pencapaiannya, begitu menurut Growth Commission, yang mengetengahkan Malaysia sebagai antara ekonomi paling pantas membangun di dunia. Malaysia telah beralih daripada sebuah ekonomi berpendapatan rendah dan berorientasikan pertanian kepada ekonomi moden yang berteraskan perdagangan, malah bakal mencecah status ekonomi berpendapatan tinggi dalam hanya beberapa tahun saja lagi. Dari sudut pandangan kasar pakar ekonomi, rata-rata menganggap Malaysia sedang pesat membangun. Pertumbuhan tercatat tinggi, yakni pada 5.9% tahun lepas dengan unjuran setinggi 5.4% tahun ini, sedangkan inflasi pula rendah, iaitu hanya 1.8% setakat Mei 2018. Pendapatan juga tercatat tinggi, bahkan bakal melepasi nilai AS$12,055 yang menandakan Malaysia telah berjaya keluar daripada perangkap status pendapatan sederhana.

Namun, dalam pada itu, Malaysia baru menyaksikan tampuk pimpinan kerajaan beralih tangan buat pertama kalinya setelah lebih enam puluh tahun. Kempen yang paling hangat dicanangkan ketika pilihanraya ialah kos sara hidup rakyat serta pertumbuhan ekonomi yang tidak dirasai oleh rakyat secara amnya. Bila ditanyakan kepada mereka, jawapannya begitu ketara. Jurang antara angka pertumbuhan yang tercatat dan keadaan sebenar yang mereka alami jauh terpisah.

Dalam edisi baharu Malaysia Economic Monitor, kami akan cuba memperjelas jurang keterpisahan ini dan menyingkap hakikat sebenar di sebalik angka purata pertumbuhan yang dilaporkan. Apa yang kami temukan adalah, walaupun pertumbuhan secara purata adalah tinggi, jurang yang wujud antara gaji pekerja sektor perkilangan berbanding sektor perkhidmatan semakin melebar. Gaji pekerja sektor perkilangan yang berorientasikan produk eksport naik empat kali ganda berbanding pekerja sektor perkhidmatan.

Pada masa yang sama, biarpun inflasi secara puratanya rendah, namun kos sara makan dan tempat tinggal naik mendadak dalam beberapa tahun belakangan. Hal ini lebih sarat dirasakan di kawasan bandar yang menyaksikan kenaikan kos makan dan tempat tinggal tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pada 2010. Isi rumah berpendapatan rendah terpaksa berbelanja lebih tinggi hanya untuk sara makan dan tempat tinggal mereka. Malah, golongan 10% paling miskin di Malaysia menghabiskan dua pertiga gaji mereka hanya untuk kedua-dua belanja kos tersebut walhal kedua-dua kos inilah yang paling banyak meningkat.

Hal yang demikian ini, apatah lagi dengan gaji pekerja sektor luar daripada perkilangan yang tidak bertambah, ialah faktor sebenar yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia tidak merasakan nikmat pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, pertumbuhan yang inklusif perlu memastikan rakyat secara amnya berpeluang meningkatkan taraf hidup mereka, termasuklah akses jaringan keselamatan sosial bagi melindungi rakyat daripada kegawatan yang melanda.

Keputusan pilihanraya Malaysia yang cukup bersejarah baru-baru ini membuktikan perubahan tidaklah mustahil. Peluang yang cukup unik terbuka bagi Malaysia ketika ini untuk memantapkan pembaharuan dan memastikan hasil pertumbuhan ekonomi dirasai semua rakyat. Sungguhpun perubahan ini pada mulanya berbaur ketidakpastian, Malaysia kini berpeluang melakar pembaharuan yang jauh lebih berani.

Justeru, kita sudahpun melihat beberapa dasar yang dijadikan prioriti, termasuklah usaha mempertingkat produktiviti, memperkukuh penyediaan bantuan sosial bagi isi rumah berpendapatan rendah, dan memudahkan pertumbuhan secara inklusif menerusi pelbagai dasar yang memastikan akses terhadap perkhidmatan dan peluang ekonomi adalah sama rata (termasuk dasar bagi meningkatkan penyertaan guna tenaga wanita).

Pastinya, sedang Malaysia menghampiri status negara berpendapatan tinggi, ia perlu lebih peka akan aspek pembangunan penting yang lain, yang tidak dicakup daripada angka pertumbuhan GDP semata-mata, antaranya, kesihatan, pendidikan dan kelestarian alam sekitar.

Sudah tentulah bukan perkara mudah untuk mengemudi arus perubahan ini. Namun yang pasti, Malaysia boleh merangkul peluang ini untuk membuktikan bahawa ia bukan sekadar negara yang cemerlang mencatat tahap pertumbuhan ekonomi, bahkan juga berupaya mencapai pertumbuhan yang mampan serta inklusif, yang dapat dimanfaatkan oleh setiap rakyatnya.


Authors

Richard Record

Lead Country Economist for the Western Balkans and Program Leader for Equitable Growth, Finance and Institutions

Join the Conversation

The content of this field is kept private and will not be shown publicly
Remaining characters: 1000