Pencapaian Malaysia seharusnya diraikan. Ia kini menjejak kemajuan yang dicapai oleh negara-negara lain yang bertukar status daripada negara berpendapatan rendah menjadi negara berpendapatan sederhana tinggi atau berpendapatan tinggi. Demografi penduduknya telah berubah daripada kadar kesuburan dan mortaliti tinggi dan kini memasuki era kadar kesuburan dan mortaliti yang rendah.
Tahun 2020 menyaksikan Malaysia mencapai tanda aras penting dalam kemajuan negara dengan menjadi sebuah masyarakat berusia. Mengikut definisi antarabangsa, masyarakat berusia adalah masyarakat yang memiliki tujuh peratus atau lebih penduduknya yang berusia 65 tahun dan ke atas.
Namun kemajuan ini turut melahirkan kebimbangan terutamanya jika peningkatan usia berlaku dengan pantas. Laporan baru yang diterbitkan oleh Bank Dunia menelami isu peralihan demografi serta membincangkan polisi yang bakal membantu Malaysia cabaran penuaan. Berdasarkan kajian ini, jumlah penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas dijangka akan meningkat dari tujuh peratus menjadi 14 peratus menjelang tahun 2044 atau dalam masa 24 tahun sahaja lagi. Dalam masa 12 tahun selepas itu, angka ini akan meningkat menjadi 20 peratus. Mengikut ini, proses penuaan Malaysia akan berlaku pada kadar yang sama seperti negara Jepun.
Perubahan usia yang pantas ini bermakna rakyat Malaysia perlu bekerja dengan lebih lama. Kadar guna tenaga bagi mereka yang berusia antara 55 hingga 64 tahun di Malaysia sangat rendah berbanding negara-negara berpendapatan sederhana dan tinggi yang lain, terutamanya dalam kalangan wanita. Sebagai perbandingan, lebih 65 peratus daripada mereka yang berusia antara 55 hingga 64 tahun di Korea, Jepun dan Thailand masih lagi aktif dalam pasaran tenaga kerja. Di Malaysia, hanya 45 peratus sahaja yang berada dalam kumpulan umur ini yang masih bekerja.
Bekerja dengan lebih lama membolehkan rakyat Malaysia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan pada masa yang sama meningkatkan perlindungan kewangan mereka pada usia tua. Selain itu, bekerja pada usia tua memupuk interaksi sosial, autonomi dan hala tuju buat warga dalam kumpulan umur ini, yang boleh menyumbang kepada kepuasan hidup yang lebih tinggi dan memperlahankan kemerosotan kognitif. Keupayaan kognitif para pekerja sebenarnya berubah, dan bukannya merosot, apabila usia mereka meningkat. Para pekerja yang berusia juga memiliki kemahiran yang menyokong dan bukannya mengambil tempat pekerja yang lebih muda. Malah, tiada bukti yang menunjukkan bahawa peningkatan pekerjaan dalam kalangan warga berusia sama ada di Malaysia atau di negara lain menjejaskan peluang pekerjaan untuk mereka yang lebih muda.
Seperti di kebanyakan negara berpendapatan tinggi yang lain, kerjaya yang lebih panjang memerlukan penyelarasan umur persaraan minimum secara beransur-ansur, mengikut jangka hayat yang meningkat. Antara dasar yang boleh dipertimbangkan adalah untuk meningkatkan umurpersaraan minimum yang secara relatifnya rendah dari 60 tahun kepada 65 tahun dan seterusnya memautkan umur ini dengan jangka hayat.
Begitu juga dengan umur pengeluaran minimum pada 55 tahun bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang rendah mengikut standard serantau dan antarabangsa. Sebagai perbandingan, umur minimum untuk pengeluaran di Singapura ialah 64 tahun. Kebanyakan pencarum KWSP pula sering bertukar-tukar antara pekerjaan formal dan tidak formal. Ini menjadikan sebahagian besar daripada warga berusia di Malaysia tidak memiliki simpanan KWSP yang mencukupi atau tiada langsung simpanan.
Pada tahun 2019, 75 peratus ahli KWSP yang berumur 54 tahun mempunyai baki akaun di bawah RM250,000. Ini bermaksud faedah bulanan kurang dari RM1,050. Maka beban untuk melindungi warga emas daripada kemiskinan dan kemelaratan selalunya jatuh di tangan keluarga atau program kebajikan sosial yang terhad.
Rakyat Malaysia yang berumur 55 tahun secara purata dijangka akan hidup selama 24.5 tahun lagi. Ini bermakna kebanyakan pekerja akan mempunyai lebih banyak masa dalam persaraan dan bukannya sebagai pencarum KWSP yang aktif. Mengubah umur pengeluaran minimum dari 55 kepada 65 tahun menerusi proses peralihan yang beransur-ansur, sebagai contohnya dalam tempoh 20 tahun, mampu meningkatkan perlindungan kewangan secara berkesan untuk para ahli KWSP yang menyumbang secara terus menerus. Ini disebabkan oleh tiga perkara: pertama, para pencarum akan menyumbang secara tambahan selama 10 tahun lagi; kedua, mereka mendapat manfaat daripada tambahan dividen selama 10 tahun; dan ketiga, tempoh pengeluaran akan dipendekkan dengan ketara.
Pada masa yang sama, dasar-dasar perlu dirangka untuk menggalakkan pekerjaan yang produktif dan inklusif bagi semua pekerja, termasuk pekerja yang berusia. Jika warga Malaysia bekerja dalam tempoh yang lebih panjang, mereka perlu sentiasa berada dalam keadaan sihat. Pekerjaan mereka hendaklah tidak membebankan secara fizikal serta di tempat kerja yang memanfaatkan teknologi digital. Antara dasar yang boleh dipertimbangkan adalah penyediaan peluang tambahan bagi latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang mengambil kira keadaan dan ciri-ciri pekerja yang berusia. Sebagai tambahan, syarikat juga boleh digalakkan dan diberikan sokongan untuk memenuhi keperluan dan keupayaan pekerja yang berusia seperti mengubahsuai dasar organisasi kerja, peralatan kerja dan masa bekerja. Akhir sekali, kerangka peraturan untuk mengambil pekerja berusia yang produktif dan fleksibel boleh dibangunkan. Peluang pekerjaan separuh masa dan bentuk pekerjaan yang lain juga boleh diperluaskan lagi.
Bagi mengelakkan ketidakseimbangan jantina yang semakin teruk dalam pekerjaan, kekangan kerja yang dihadapi wanita juga perlu ditangani. Antara inisiatif yang sesuai termasuklah penyediaan peluang, kualiti dan kos penjagaan kanak-kanak yang lebih baik, pembaharuan persekitaran undang-undang dan sokongan yang lebih baik untuk ibu bapa selaras dengan norma undang-undang antarabangsa dan dasar yang menangani norma-norma dan sikap jantina.
Walaupun usaha untuk menggalakkan rakyat Malaysia bekerja dengan lebih lama mungkin kurang popular, namun pengalaman daripada beberapa buah negara Eropah menunjukkan bahawa proses pembaharuan yang inklusif, pengagihan maklumat yang telus dan penggunaan konsep ekonomi tingkah laku dapat membolehkan pelaksanaan dasar ini dengan lebih lancar.. Sesetengah negara seperti Estonia and Itali kini berhasrat untuk meningkatkan umur persaraan minimum sehingga melebihi umur 70 tahun. Sesetengah negara yang lain seperti Denmark dan Belanda pula telah memautkan umur persaraan dengan jangka hayat.
Selain daripada keperluan untuk rakyat Malaysia berkerja dengan lebih lama, peningkatan usia turut menjadi trend berskala besar utama yang mempunyai impak kepada rakyat Malaysia dalam dekad yang akan datang. Perubahan ini turut memberi cabaran kepada dasar-dasar yang melibatkan keselamatan pendapatan, penjagaan kesihatan dan penjagaan warga yang berusia. Kebanyakan cabaran ini telah diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19. Misalnya, jangkitan COVID-19 di beberapa buah rumah penjagaan orang tua di Malaysia menunjukkan kepentingan menjaga keadaan kesihatan dan keselamatan rumah-rumah penjagaan ini.
Kombinasi dasar yang sesuai boleh membantu rakyatnegara ini menyesuaikan diri dengan peningkatan usia yang pantas, menambah baik kesejahteraan untuk semua peringkat umur dan meningkatkan bilangan warga Malaysia yang menikmati usia tua yang penuh dengan kebebasan, penyertaan sosial dan produktiviti. Inilah sinar harapan untuk Malaysia.
Join the Conversation