Pembaikan pengangkutan bandar untuk meningkatkan mobiliti sosial di Malaysia

This page in:
Image
Akses kepada pengangkutan adalah penting bagi memperbaik mobiliti sosial dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah di Kuala Lumpur, khususnya bagi manfaat penduduk unit kediaman kos rendah. (Foto: Samuel Goh/World Bank)

Sejak beberapa tahun lepas, Malaysia telah mempamerkan perkembangan yang begitu ketara dari aspek peningkatan mobiliti sosial sejajar dengan usahanya untuk mencapai status negara maju. Namun demikian, kejayaan yang diperoleh tidak diterjemahkan dalam bentuk taburan yang saksama dalam kalangan populasi negara. Sebuah kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah pada 2016 telah menunjukkan bahawa 24% kanak-kanak yang lahir daripada ibu bapa berkemahiran rendah di Malaysia berterusan menjadi orang dewasa berkemahiran rendah. Begitu juga halnya dengan 46% kanak-kanak yang lahir daripada ibu bapa dalam kelompok 40% terbawah dari segi agihan pendapatan negara, turut kekal sebagai 40% isu rumah berpendapatan terbawah.

Dalam hal ini, antara faktor yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan status sosioekonomi ialah akses kepada pengangkutan. Pengangkutan membantu aktiviti perjalanan harian, antara lain, perjalanan ke tempat kerja, sekolah serta kemudahan hospital dan penjagaan kesihatan.  Justeru, pentingnya sebuah sistem pengangkutan awam yang dibangunkan dengan cukup baik di kawasan bandar sama sekali tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi memandangkan 75% populasi Malaysia tergolong penduduk bandar dan corak ini semakin jelas terserlah. Oleh itu, tanpa sistem pengangkutan yang boleh diyakini, peluang bagi penduduk bandar dari kalangan isu rumah berpendapatan rendah untuk memanfaatkan pelbagai akses yang dapat mengangkat status sosioekonomi mereka berisiko terbatas, sekali gus menyebabkan mereka terus terketepi. 

Dalam mengharungi kesibukan bandar Kuala Lumpur, kemudahan pengangkutan awam menawarkan suatu jalan penyelesaian yang cukup berkesan kepada penduduk dari kalangan isi rumah berpendapatan rendah kerana ia membantu mengurangkan keterbatasan pergerakan atau mobiliti mereka. Untuk memahami sama ada komuniti bandar berpendapatan rendah di Kuala Lumpur mempunyai akses kepada kemudahan pengangkutan awam yang dapat dimanfaatkan mereka, kami telah memilih 30 unit kediaman awam secara rawak lalu menggunakan pengukuran jangka masa antara 15-30 minit waktu berjalan kaki ke stesen bas awam dan laluan rel sebagai tanda aras kehampiran jarak ke pengangkutan awam. Jarak berjalan kaki tersebut disimulasikan menggunakan perisian ArcGIS dan koordinat peta Google. Namun, kaedah ini terhad kerana aspek keselamatan bagi pejalan kaki tidak dapat diukur dengan hanya menggunakan kajian ruangan (spatial) peringkat permulaan.

Image

Carta 1: Pengangkutan Awam dan Unit Kediaman Awam Terpilih di Kuala Lumpur

Hentian-hentian bas di atas menandakan hentian bas yang berhampiran dengan unit kediaman awam yang telah dipilih secara rawak. Walau bagaimanapun, hentian-hentian bas ini tidak menggambarkan rangkaian hentian bas di Kuala Lumpur secara keseluruhan.
 
Analisis ruangan terhadap akses kawasan kediaman kos rendah ke hentian pengangkutan awam di Kuala Lumpur didapati menggalakkan. Dapatan kami menunjukkan:

  • Kesemua 30 unit kediaman awam yang dipilih secara rawak didapati berada dalam lingkungan 15-minit jarak berjalan kaki ke hentian bas awam
  • Tujuh belas unit kediaman awam didapati berada dalam lingkungan 15-minit jarak berjalan kaki ke sebuah stesen Transit Laju Massa (MRT), Transit Rel Ringan (LRT), Monorel, dan/atau stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM). Lapan daripada 13 unit kediaman awam yang selebihnya adalah dalam lingkungan 30-minit jarak berjalan kaki ke sekurang-kurangnya sebuah laluan tren atau lebih.
  • Lima daripada 30 unit kediaman rumah awam didapati tidak mempunyai sebarang stesen rel dalam lingkungan 30-minit waktu berjalan kaki, tetapi masih terletak dalam lingkungan 15-minit waktu berjalan kaki ke sebuah hentian bas. 
Dapatan awal ini memberikan dua petunjuk penting:
  1. Penduduk bandar berpendapatan rendah di Kuala Lumpur memperoleh manfaat daripada rangkaian pengangkutan awam, berdasarkan lokasi laluan tren dan bas awam yang berhampiran dengan kawasan kediaman awam. Akan tetapi, kajian ini hanya memfokuskan tinjauan terhadap kehampiran pengangkutan awam dari unit kediaman awam kos rendah di ibu kota Malaysia. Oleh itu, lebih banyak kajian perlu dilakukan di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain bagi meninjau akses komuniti yang lebih miskin kepada pengangkutan awam. Hal ini dikatakan demikian bagi memastikan sebuah pembangunan yang inklusif di Malaysia. Analisis yang lebih mendalam disarankan pada masa akan datang menggunakan ‘data besar’ bagi menghasilkan simulasi waktu perjalanan oleh orang awam dari semua kawasan kejiranan ke pusat-pusat kerja utama di bandar, termasuk pasar-pasar tradisional, pusat-pusat latihan, hospital awam dan sekolah-sekolah terbaik. Ini bagi membantu mengenal pasti kawasan-kawasan yang pada ketika ini masih belum memperoleh manfaat daripada rangkaian pengangkutan awam (kajian seumpama ini sedang dilakukan oleh sebuah pasukan Bank Dunia di Jakarta menggunakan data peta Google). 
  2. Walaupun unit-unit kediaman awam yang dipilih secara rawak di Kuala Lumpur kesemuanya terletak dalam lingkungan 15-minit jarak berjalan kaki ke hentian pengangkutan awam yang terdekat, akses sebenar juga perlu mengambil kira faktor kemampuan. Pada 2017, aspek pengangkutan dikenal pasti sebagai salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup di Malaysia. Dalam hal ini, penduduk miskinlah yang paling terkesan ekoran kenaikan kos pengangkutan kerana ia seringkali merupakan pecahan perbelanjaan seisi rumah yang cukup tinggi. Namun, analisis awal ini hanya melibatkan aspek jarak fizikal di antara unit-unit kediaman awam kos rendah dan hentian-hentian bas serta laluan transit. Oleh hal yang demikian, kajian tambahan perlu dilakukan bagi meninjau aspek kemampuan penduduk bandar Malaysia yang berpendapatan rendah untuk membayar tambang perkhidmatan awam. Ini bagi memastikan mereka bersama-sama berpeluang meraih manfaat pengangkutan awam untuk tujuan peningkatan mobiliti mereka. 
Secara tuntasnya, perancangan yang lebih mantap bagi menyediakan akses mudah untuk kawasan-kawasan perumahan awam ke pengangkutan awam yang boleh diyakini amat penting bagi memastikan golongan miskin bandar dapat memanfaatkan peluang sosioekonomi sebaik mungkin. Seiring usaha Malaysia untuk merealisasikan matlamatnya menjadi negara maju yang inklusif, isu pengangkutan perlu diutamakan dan dijadikan prioriti pembangunan bandar. Akses kepada pengangkutan awam yang berkesan untuk komuniti miskin bandar pastinya suatu langkah penting ke arah pertumbuhan yang inklusif.

Authors

Join the Conversation

The content of this field is kept private and will not be shown publicly
Remaining characters: 1000