Pemulihan ekonomi kini berada di landasan yang tepat, berikutan peningkatan kadar vaksinasi dan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi. Walaupun COVID-19 merebak secara pantas dan meluas ke seluruh dunia, kesan dan trajektori pemulihannya kelihatan tidak sekata, sepertimana yang didedahkan dalam dapatan survei baharu Bank Dunia. Secara khususnya, rakyat Malaysia yang telah mendepani kesan pandemik ini dengan penuh daya tahan, kini mendapati diri mereka semakin terdedah kepada cabaran kewangan dan ekonomi.
Survei Frekuensi Tinggi COVID-19 untuk Pemantauan Isi Rumah (COVID-19 High Frequency (HiFy) Household Monitoring Survey) telah dijalankan oleh Bank Dunia antara 18 Mei–16 Jun 2021 untuk lebih memahami taburan impak dan kepantasan pemulihan dalam kalangan rakyat Malaysia. Survei ini melibatkan 2,210 responden dewasa dari semua negeri, dan telah dijalankan melalui temu bual telefon.
Angka-angka ini amat berguna untuk mendapatkan gambaran sebenar sejauh mana wabak ini telah menjejaskan sumber pendapatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Dapatan survei menunjukkan bahawa pekerja berkemahiran rendah, pekerja tidak formal, dan mereka yang berpendapatan rendah lebih terdedah kepada ketidaktentuan pekerjaan dan gangguan kepada sumber pendapatan berbanding dengan kumpulan lain. Menariknya, dapatan menunjukkan lebih ramai dewasa bekerja pada bulan Jun 2021 berbanding tempoh sebelum pandemik, dengan 58% responden bekerja semasa Jun 2021 berbanding 53% pada Mac 2020. Namun begitu, pekerjaan mereka tidak semestinya berkualiti dan menyumbang kepada pendapatan yang stabil. Antara golongan yang bekerja sebelum pandemik, satu pertiga berdepan dengan kehilangan atau perubahan pekerjaan, manakala 27% yang terus bekerja telah mengalami pengurangan pendapatan.
Beberapa kaedah telah digunakan oleh isi rumah untuk menghadapi kejutan semasa pandemik, antaranya termasuk pengeluaran simpanan peribadi dan kebergantungan pada bantuan kerajaan. Walau bagaimanapun, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang terkesan dengan ketidaktentuan pekerjaan atau gangguan sumber pendapatan turut berkemungkinan besar mengurangkan pengambilan makanan. Dapatan mendapati bahawa satu daripada empat isi rumah golongan berpendapatan rendah mengalami kekurangan makanan dari pertengahan April hingga pertengahan Jun 2021. Selain itu, isi rumah di Sabah, Sarawak, dan W.P. Labuan juga mengalami masalah ketidakjaminan makanan hampir dua kali ganda berbanding isi rumah di Semenanjung Malaysia.
Dalam tempoh 15 bulan, kerajaan telah mengumumkan lapan pakej rangsangan ekonomi berskala besar —berjumlah lebih RM850 bilion— untuk meringankan beban rakyat dan memacu pemulihan ekonomi negara. Sehingga pertengahan Jun 2021, hampir 60% isi rumah telah menerima pelbagai jenis bantuan kerajaan, termasuk bantuan tunai, moratorium pinjaman, pelepasan cukai, dan program-program utama yang lain. Namun, sebahagian besar daripada golongan berpendapatan rendah masih tidak menerima apa-apa bantuan, tidak kira sama ada mereka mengalami masalah ketidakjaminan makanan atau gangguan sumber pendapatan. Ini menunjukkan bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikkan dari segi sasaran dan penyampaian bantuan sosial di Malaysia.
Selain itu, terdapat juga keperluan untuk merapatkan jurang pembelajaran kanak-kanak. Penutupan sekolah sejak 2020 telah menjejaskan sistem pendidikan. Walaupun terdapat usaha untuk memastikan kanak-kanak di Malaysia terlibat dengan pembelajaran di rumah, ramai yang mengalami kekangan seperti sambungan internet yang lemah dan kekurangan peralatan elektronik. Ini menyumbang kepada kira-kira 30% kanak-kanak daripada isi rumah berpendapatan rendah yang tidak mempunyai akses sepenuhnya kepada kelas dalam talian atau aplikasi pembelajaran mudah alih semasa pandemik. Kesannya, kehidupan golongan rentan ini akan lebih terjejas di masa hadapan.
Semestinya, survei ini mendedahkan bahawa COVID-19 telah memberi kesan yang tidak sama rata ke atas kebajikan keluarga di Malaysia, terutama dalam kalangan golongan rentan yang sememangnya sudah mengalami kekangan sebelum pandemik. Ini akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada aspek ekonomi dan sosial pada masa hadapan. Dalam mendepani kepantasan penularan wabak, pihak kerajaan memerlukan maklumat terkini untuk mengenal pasti jurang dan kesenjangan yang telah berlaku. Ianya amat berharga dalam proses penggubalan dasar, supaya pihak kerajaan boleh membuat keputusan sama ada tindakan yang lebih menyeluruh atau penentuan semula dasar kerajaan diperlukan sepanjang krisis ini. Maklumat berkenaan adalah penting untuk memantau dan meneliti kebajikan individu serta keluarga semasa pandemik. Selain itu, ianya juga dapat mempertingkatkan keberkesanan bantuan kerajaan dan pakej rangsangan ekonomi untuk melindungi mereka yang terkesan serta mencapai sasaran pemulihan daripada krisis.
Bank Dunia akan terus menjalankan survei HiFy dalam beberapa bulan yang akan datang bagi menyumbang kepada pembinaan keputusan berasaskan bukti serta langkah yang inklusif dan berdaya tahan.
Join the Conversation