“...Kalau dahulu, pendapatan yang berjumlah RM800–RM1,000 boleh menanggung enam orang atau lebih. Sekarang jumlah yang sama hanya boleh menanggung tiga orang, itu pun sukar untuk dipenuhi... Malaysia sudah maju, tetapi rakyat tertinggal ke belakangan disebabkan gaji yang tidak naik.”
Ini merupakan antara pendapat dan kepercayaan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyertai kajian kualitatif bersama antara Bank Dunia-Universiti Malaya pada tahun 2019 mengenai taraf hidup di Malaysia. Sememangnya, bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur merupakan lambang kemegahan sebuah bandar raya yang moden dan kaya. Namun, perbualan dengan pemandu Grab menceritakan keadaan sebaliknya di mana kebanyakan warga Malaysia terpaksa bergelut untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.
Sebelum berlakunya pandemik, semakin ramai dalam kalangan rakyat sudah merasakan bahawa taraf kehidupan dan keadaan sosio-ekonomi mereka tidak bergerak selari dengan prestasi kejayaan keseluruhan ekonomi Malaysia. Kajian yang dilaksanakan sebelum ini oleh Bank Dunia tentang cabaran kos sara hidup di Malaysia menunjukkan bahawa kebanyakan isi rumah memerlukan dua punca pendapatan malah ada yang harus bekerja lebih dari satu pekerjaan untuk menampung kehidupan. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat masih hidup bersusah payah walaupun negara telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam beberapa dekad yang lalu.
Laporan terbaru Bank Dunia, Aiming High: Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development, berpendapat bahawa meskipun Malaysia dijangka mencapai kemajuan ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh 3–7 tahun, cabaran yang lebih besar bagi negara adalah untuk memastikan kemajuan ekonomi adalah seiring dengan kesejahteraan rakyat.
Sepanjang 30 tahun yang lalu, hanya 33 buah negara yang mencapai status pendapatan tinggi. Malaysia kini semakin menghampiri pertukaran ini walaupun dalam kedudukan yang lebih lemah berbanding negara-negara tersebut. Berbanding dengan negara-negara berpendapatan tinggi, peralihan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi berdepan dengan ketidaksamarataan yang lebih ketara, perbelanjaan sosial yang terhad dan ruang fiskal yang menguncup. Status sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang tidak sepadan dengan tahap kekuatan ekonomi yang lebih baik dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhan akan menjadi sekadar pencapaian atas kertas dan sudah tentu tidak membawa sebarang makna.
Ketidaksamarataan yang ketara di Malaysia
Kita perlu bertanya, apakah punca utama di sebalik pandangan yang pesimistik ini? Harus dinyatakan, walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan dalam usahanya menghapuskan kemiskinan dan meningkatkan penglibatan ekonomi sejak tahun 1970, namun pertumbuhan ekonomi semakin tidak inklusif sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada persepsi bahawa pertumbuhan tidak memberi manfaat yang sama rata untuk rakyat. Ini termasuklah kadar kenaikan pendapatan yang lebih perlahan terutamanya dalam kalangan generasi muda dan pekerja berkemahiran rendah, peluang yang tidak saksama untuk pendidikan yang berkualiti, dan jaringan keselamatan sosial yang tidak mencukupi terutamanya untuk golongan miskin dan rentan. Perbelanjaan Malaysia untuk jaringan keselamatan sosial yang dianggarkan berjumlah 0.7 peratus daripada KDNK adalah jauh lebih rendah berbanding hampir semua negara yang mencapai status pendapatan tinggi sejak tahun 2000. Negara-negara ini secara amnya membelanjakan 1.5–3.4 peratus daripada KDNK untuk tujuan ini.
Sudah tentunya penyelesaian paling mudah dan nyata adalah supaya pihak kerajaan meningkatkan perbelanjaan sosial, walaubagaimanapun, langkah ini tidak semudah yang disangka. Komitmen yang tinggi oleh kerajaan untuk perbelanjaan pengurusan seperti pembayaran gaji, pencen dan hutang mengekang keupayaan untuk menambah peruntukkan perbelanjaan sosial selain perbelanjaan untuk pembangunan. Oleh yang demikian, keadaan ini mengehadkan peranan dasar fiskal untuk pengagihan hasil dalam memastikan kemakmuran negara dikongsi bersama dan kesaksamaan yang lebih adil dalam kalangan rakyat Malaysia.
Keberkesanan perbelanjaan sosial yang terhad
Perbelanjaan sosial yang berkesan bukan setakat memerlukan jumlah yang besar. Ia juga perlu dilakukan secara lebih pintar. Perbelanjaan sosial yang berkesan perlu disasarkan kepada golongan yang layak dengan jumlah yang bermakna. Di Malaysia, hampir semua individu dalam kumpulan pendapatan 20 peratus terendah (B20) menerima beberapa bentuk bantuan sosial, namun mereka menikmati hanya 29.5% daripada jumlah manfaat program. Sebaliknya, sebahagian besar bantuan sosial diberikan kepada kumpulan isi rumah M40 (37.2 peratus) dan T20 (9.5 peratus). Tambahan pula, sesetengah jenis perbelanjaan sosial, seperti subsidi bahan api atau petroleum yang diterima oleh semua rakyat, turut memberi manfaat subsidi ini lebih kepada isi rumah berpendapatan tinggi. Dalam satu kajian oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2014, kumpulan isi rumah B20 dianggarkan menerima hanya 4 peratus daripada subsidi bahan api atau petroleum, manakala kumpulan T20 menerima sebanyak 42 peratus. Dalam erti kata lain, bagi setiap 1 Ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk subsidi bahan api ini, hanya 4 sen yang diterima oleh golongan isi rumah berpendapatan rendah. Justeru itu, ianya meningkatkan lagi ketidaksamarataan dalam kalangan rakyat.
Secara amnya, perbelanjaan Malaysia dalam sektor sosial didapati tidak cekap, termasuk perbelanjaan dalam bidang yang kritikal seperti pendidikan. Malaysia membelanjakan sebahagian besar belanjawan negara untuk tujuan pendidikan, namun malangnya hasil pembelajaran berada jauh di bawah jangkaan berbanding negara-negara lain.
Ruang fiskal Malaysia yang menguncup
Bagi meningkatkan perbelanjaan sosial, maka hasil kutipan kerajaan perlu ditingkatkan. Sejak tahun 2012, jumlah kutipan hasil Malaysia sebagai peratusan KDNK semakin berkurangan dan ianya menjejaskan keupayaan kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan awam bermutu tinggi serta jaringan keselamatan sosial yang diperlukan oleh golongan pendapatan pertengahan yang semakin membesar. Pada tahun 2019, kutipan hasil Malaysia berjumlah 17.4 peratus daripada KDNK, jauh di bawah kadar purata negara berpendapatan menengah atas (28 peratus) dan negara berpendapatan tinggi (36 peratus). Kutipan hasil oleh kerajaan amat rendah dalam bidang hasil utama seperti cukai pendapatan dan cukai jualan dan perkhidmatan. Hal ini sebahagiannya berpunca daripada sistem pemotongan dan pengecualian cukai yang meluas bagi semua tahap pendapatan. Kecuali cukai keuntungan harta tanah, buat masa ini Malaysia tidak mengenakan cukai keuntungan modal dan tiada langsung mengenakan cukai kekayaan. Di peringkat global, perlaksanaan cukai kekayaan oleh kerajaan sebagai sebahagian daripada rangka kerja hasil mereka semakin giat dibincangkan kebelakangan ini terutamanya sejak wabak COVID-19.
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa rangka kerja percukaian di Malaysia boleh dan perlu menjadi lebih progresif. Di luar mekanisme rangka kerja itu sendiri, usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan menyampaikan maklumat tentang cukai dan manfaatnya untuk perbelanjaan kerajaan perlu dilaksanakan. Tidak seperti negara-negara lain, maklum balas yang diterima semasa Tinjauan Nilai Dunia 2020 (World Values Survey 2020) bagi persoalan sama ada “ciri penting bagi sesebuah demokrasi ialah kerajaan mengenakan cukai terhadap golongan kaya dan memberi subsidi kepada golongan miskin”, kebanyakan rakyat Malaysia memiliki pandangan yang bersifat tidak ambil peduli. Pada masa yang sama, Malaysia perlu melakukan usaha yang serius untuk meningkatkan kebertanggungjawaban dan ketelusan bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap rangka kerja percukaian dan perbelanjaan negara.
Prinsip kontrak sosial yang dipertingkatkan ini disintesiskan dalam laporan kami. Negara harus bertindak untuk memenuhi keperluan rakyat secara telus dan berkesan, manakala rakyat pula perlu diperkasa untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Masanya telah tiba untuk Malaysia mengejar cita-cita yang lebih tinggi dan memastikan “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” di setiap lapisan masyarakat.
Join the Conversation